Saturday 26 September 2009

Meriahnya Hari Raya

Minggu ini aku nak cerita tentang hari raya di Kuching Sarawak. Sememangnya pada tahun ini aku telah berpesan kepada seluruh ahli keluargaku raya puasa 1430H akan diraikan di Kuching Sarawak.

Meriah..itulah yang aku mampu katakan dan pendapatku juga sama seperti isteri kesayanganku. Sebelum tiba hari raya..seluruh umat Islam membuat persiapan. Ada yang membeli pakaian baru, menukar tirai baru, perabot baru, dan macam-macam yang baru. Ada juga yang bersedih akan meninggalkan Ramadhan yang mulia..mungkin tahun depan dah tak jumpa. Itulah gelagat kita..termasuk aku. Fikir-fikirlah di mana kedudukan kita.

Termasuk juga keluargaku. Minggu terakhir sempat membeli-belah terutama baju raya anak-anak. Pagi pergi Serikin dan petangnya pula kat Ho Poh. Tak dapat juga pakaian yang sesuai..pergi pulak kat India Street. Kat sini banyak pilihan..sesuailah dengan poket aku dan fesyen pakaian anak-anakku.

Malam raya.
Boleh dikatakan lampu luar setiap rumah orang Islam kat sini bergemerlapan dengan lampu rayanya. Tepat jam 12 malam seluruh Kuching dan kawasan yang sewaktu dengannya bermandikan cahaya bunga api..mengalahkan sambutan tahun baru. Aku tak susah-susah nak beli bunga api atau mercun..dapat tengok orang main free.

Macam-macam jenis kek lapis

Tak tau nak pilih yang mana

Hari Raya Kedua
Beraya di rumah Rajab, Sister Kurniati dan Bos Dasuki. Sebelah malam pi rumah tuan rumah di Samariang. Tuan rumah aku Cikgu Normi.
Sepanjang jalan orang ramai masih beraya dan jalan ke Samariang sesak giler. Sampai rumah 11 malam.

Rakan-rakan JKKP yang tak balik beraya. Rajab buat ayam panggang..woww!

Makan, jangan tak makan..Sister Kurniati ada ubat!

Tengok tu..pakaian sedondon suami isteri Ini hari ketiga..menu laksa Sarawak rumah Sam

Hari Raya Ketiga
Rumah Cikgu Syukri jadi tuan rumah..aku serbu lagi..pukul 11 pagi keluar. Selesai rumah Cikgu Syukri pi rumah Hazeha. Lepas tu ke rumah Anasron di Samariang. Singgah solat Asar kat surau..lepas tu pi rumah Ustaz Suudi. Ustaz dah nak kena pindah ke Selayang Selangor.

Kanan sekali Samsimon..pakar buat laksa Sarawak

Cikgu Syukri tak sempat pakai baju Melayu kat rumah sendiri..basuh kot?

Hari Raya Keempat
Hari ni aku dah mula kerja. Tak ramai yang ada kat pejabat. Tengahari Cikgu Hamzah pulak jemput ke rumahnya di Maleha. Laksa Sarawak Umi Tini baru sampai tengahari dah licin..Sebelah petang lepas kerja pi pulak rumah Brahim di Tmn Sukma. Laksa Sarawak jugak.
Sebelah malamnya aku pi rumah Abang Roslan di Taman Fitrah. Menunya spaghetti. Abang Lan ni pernah duduk satu kampung dengan aku..sekarang kena pindah di Kuching..kerja kat Telekom.

Dari kiri Cikgu Syukri, Cikgu Hamzah, Ajeri & Ustaz..ini raya keempat rumah Cikgu Hamzah

Hari Raya Kelima
Tengahari aku balik rumah bawa keluarga pi pulak rumah Ustaz Saleh. Menunya sate. Jenuh beraya kat sini.. Balik kerja singgah pulak rumah Bro Naza..menu mee bandung...
Sebelah malam Mamu Ismail pulak mai rumah..dia ni orang Penang jugak berkahwin dengan orang Kuching.

Kesiannnn..kena jaga opis..

Ayo yo Buvan..Deepavali punya tiket sudah dapat ka???

Hari Raya Keenam
Sebagai hadiah kepada anak-anakku yang berpuasa penuh, aku bawa pi jalan-jalan kat Serian. Melawat taman buaya..best giler! Masuk RM16 dewasa dan kanak-kanak Rm8. Kalau orang Sarawak ada diskaun lagi. Makan tengahari kat tepi tasik sebelah masjid Serian.
Sebelah petang lepas Asar Abang Roslan mai rumah...buat cucur udang.

Beratus ekor buaya ada kat ladang ni...11pg & 3ptg tuan dia bagi makan

Bila dah laparrr..apa-apa pun boleh buat asalkan dapat habuan

Bila dah kenyang..mulalah 'melingkaq'

Wahai anak-anakku..bersabarlah...di Sarawak ni banyak lagi tempat yang akan kita lawati

Abahmu ini akan sanggup berkorban apa saja....'kalau yang hidup tu..jangan dok tunggu..cabuutttt laaaa..'


Kat Kuching boleh dikatakan setiap rumah akan hidangkan kek lapis dan air berkarbonat (air gas). Bila pi ziarah rumah ke rumah akan pakai pakaian melayu lengkap. Memang meriah...memang berbaloiii beraya sitok (disini).

Insyaallah tahun depan mungkin aku akan beraya lagi di Kuching.

Jangan lupa! Aku berpesan kepada diriku ini...puasa enam dalam bulan Syawal kena buat cepat!!!!

Tuesday 15 September 2009

5 Keperluan Wajib Sebelum Balik Kampung

Oleh Kamal Affandi Hashim

Kaedah terbaik maklumkan kepada balai polis berhampiran agar premis dapat dipantau

SAYA hanya ketawa kecil apabila melihat pembelian wajib seorang rakan, Hanifi sempena Aidilfitri yang bakal menjelma. Bahkan, kerutan mukanya melihat saya ketawa hanya berjaya menyebabkan ketawa saya menjadi lebih besar! Lihatlah sendiri antara senarainya:
1. Akuarium plastik satu set
2. Ikan puyu
3. Satu penyapu lidi
4. Lesung batu
5. Gam gajah

Kenapa? Apa yang lucunya? Masakan tidak! Saya sudah boleh menjangkakan kenapa Hanifi beria-ria memastikan lima barangan itu ada dalam senarai wajibnya. Tak lain dan tak bukan untuk memenuhi petua memastikan rumahnya selamat ketika pulang ke kampungnya di Pahang nanti. Yalah, ikan puyu dalam akuarium untuk elak dipukau dan penyapu lidi di belakang pintu untuk elak dipecah masuk. Lesung pula untuk melengkapkan litar ‘sistem penggera’ rumahnya barangkali!

Hakikatnya, itulah sebahagian daripada senario sebenar yang berlaku kepada ramai antara kita. Maaf, bukan saya skeptikal kepada petua seperti itu. Cuma ada perbezaan antara kepercayaan tradisi dengan aplikasi wajib pencegahan jenayah masa kini. Walaupun kedua-duanya ikhtiar seseorang untuk mengurangkan risiko pecah rumah, sebenarnya ada cara yang lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Setiap kali musim perayaan, ramai mula ‘tersedar’ keperluan memastikan rumah dan harta benda yang bakal ditinggalkan di dalamnya dalam keadaan selamat. Ada yang sudah mula mencongak bajet membayar perkhidmatan kawalan keselamatan statik daripada pihak ketiga. Ada pula yang sudah merangka jadual penggiliran tugas berjaga minggu pertama Aidilfitri. Bahkan, ada pula yang terpaksa menjadi pengawas rasmi atau wajib rumah jiran semata-mata kerana tidak pulang ke kampung pada tahun ini!

Sebenarnya, prinsip pengurusan risiko seperti berikut:
a) Mengelak risiko
b) Memecahkan risiko
c) Mengalihkan risiko
d) Menyubahati risiko
e) Mengandaikan risiko

Sama ada seseorang tinggal di rumah banglo, teres atau pangsapuri sekalipun, semuanya tetap tertakluk kepada kaedah sama. Bahkan, memang benar kata orang saiz tidak penting. Tidak kira besar atau kecil saiz sesebuah premis itu, kaedah pecah masuk sama yakni melalui tingkap, pintu atau bumbung.

Pintu
Apa yang perlu dilakukan kita ialah memastikan jalan masuk/keluar ini dapat membantu mengelak risiko pecah masuk di samping diperkukuh untuk menghindar harta benda daripada dicuri atau dilarikan. Cuba perhatikan daun pintu ini dari sebelah luar mahupun dalam dan lihat keadaan tombol dan engselnya.

Sekiranya posisi anda adalah di luar rumah dan untuk membuka pintu perlu ditolak ke dalam, anda hanya perlu memeriksa/mengukuhkan telinga gril (dengan membuat kimpalan lipan) dan juga memasang kunci tambahan pada daun pintu dari jenis dead-bolt saja. Itu saja keperluannya dan pintu anda sudah dinaiktarafkan darjah kekebalannya!

Keadaan sebaliknya bagi pintu jenis yang ditarik ke luar untuk membukanya. Sebenarnya pintu anda tidak kukuh kerana sudah dipasang terbalik! Ini kerana bahagian kerjanya seperti engsel dan mekanisme kunci terdedah dan boleh dimanipulasi dengan mudah. Anda perlu menukar tombol itu kepada yang lebih baik (mahal), menambah dead bolt lock, selak di bahagian atas dan bawah daun pintu serta barangkali tidak balik kampung pada raya ini!

Pada masa sama, gril yang ada di sebelah dalam itu juga perlu dikemaskini dengan menambah selak di atas dan di bawahnya. Posisi selak ini pula bukan di penjuru, se-baliknya di tengah-tengah bagi mengelirukan bakal penjenayah yang bercadang memecah masuk selepas berjaya membuka pintu yang anda tidak mahu kukuhkan tadi!

Bagi pintu gelungsur atau sliding door, ada yang masih menggunakan batang kayu penyapu yang diletak di atas landasannya. Ini kaedah yang lazim digunapakai oleh hampir semua penghuni rumah. Keburukannya hanya tiga; pintu masih boleh dibuka dengan mengangkat saja panel gelungsur itu, batang kayu terpaksa disorok bila ada tetamu datang dan sakit pinggang kerana banyak membongkok!

Cara paling mudah, murah dan lebih berkesan yakni sekitar RM25 ialah dengan membeli kunci khas pintu gelungsur di kedai perkakasan DIY. Jika bajet anda hanya RM5, usah khuatir kerana anda masih boleh membeli selak dan memasangnya di setiap bingkai panel pintu gelungsur ini.

Tingkap
Jenis tingkap yang paling popular ialah panel kaca bersusun atau lebih dikenali sebagai Naco (sebutan; nako). Ia dilengkapi dengan bar besi dan didatangkan dengan set bingkai lengkap. Hanya perlu pilih jenis kaca hendak diguna dan panjangnya saja. Kelemahan Naco cuma ia boleh dimanipulasi dari luar tanpa perlu membuka cermin satu persatu seperti tanggapan umum.

Tidak banyak yang perlu anda lakukan bagi tujuan memastikan ia tidak dapat dibuka dari luar. Anda cuma perlukan sedikit masa, pemulas skru dan sebatang skru saja. Sebelum meninggalkan rumah, skru betul-betul di bahagian bawah pemegang tuas pembuka itu. Tinggalkan sedikit kepala skru tadi di paras tuas pembuka. Tujuannya untuk mematikan tuas pembuka tadi. Dengan cara itu, ia tidak dapat langsung dibuka dari luar.

Bumbung
Bagi yang memiliki bumbung dan atap, kebimbangan ialah apabila kemasukan dilakukan melalui jalan ini. Apatah lagi yang tinggal di rumah teres berkembar dan kawasan perumahan baru, ia adalah mimpi ngeri tuan rumah. Sebelum tidur asyik lihat ke siling rumah dan terpaksa membayangkan pelbagai senario menakutkan? Kebetulan pula kebanyakan bukaan lubang akses siling ialah di bilik tidur utama!

Ya, benar ada kes pecah rumah yang berlaku yang mana penjenayah turun ala Spiderman melalui siling. Tetapi yang pasti, mereka akan membuka sekeping panel akses ke siling itu sebelum turun/naik melaluinya. Belum ada yang memecahkan bahagian lain siling rumah untuk turun.

Selain daripada sistem penggera moden, anda boleh meletakkan perangkap tikus jenis spring di beberapa tempat di dalam siling rumah. Ini dapat membantu dalam banyak cara. Sekiranya terpijak atau terpegang ketika penjenayah merangkak dalam gelap, prapp!!, barang sudah tentu cap jari dan bukti DNAnya melekat di situ!

(Ada kenalan saya meletakkan papan berpaku di merata tempat di dalam silingnya). Jangan lupa pastikan pintu bilik yang ada bukaan siling ini ditutup sepenuhnya apabila meninggalkan rumah nanti. Jika tidak ditutup, ia berupaya membantu penjenayah turun/naik nanti. Pada masa sama, tambah dead bolt lock supaya ia langsung tidak dapat dibuka kecuali dengan kunci.

Perkara lain
Perlindungan insurans adalah antara kaedah memindahkan risiko. Bayar premium dan harta anda terjamin sekiranya dicuri dalam kejadian jenayah.

Di samping itu, maklumkan jiran dan kenalan jangkaan tarikh anda pulang ke kampung dan kembali semula ke kediaman. Kalau premis anda sebuah kedai, jangan tampal notis tarikh dan dijangka tutup!.

Apabila selesai sambutan dan sebaik saja sampai semula di kediaman, jangan ulangi kesilapan orang lain. Ramai yang terus saja keluar dari kenderaan dan berebut-rebut masuk ke dalam rumah. Ini bahaya kerana manalah tahu kalau-kalau pada masa itu ada penjenayah di dalam rumah. Parah dibuatnya!

Yang penting, bapa akan keluar dari kenderaan terlebih dulu, masuk rumah, buka lampu dan buat pemeriksaan pintu belakang, bilik atas dan semuanya sebelum membenarkan anak-anak masuk.

Sempena dengan cuti perayaan, kita bernasib baik kerana polis kita berbanding kepolisan negara lain sentiasa menganjurkan Kempen Rumah Selamat Ketika Bercuti. Anda mungkin tidak tahu bahawa dalam 10 tahun program ini dilaksanakan, semua rumah yang berdaftar pada tempoh kempen ini masih mempunyai rekod cemerlang iaitu sifar peratus pecah!

Elok rasanya anda menghubungi balai polis terdekat dan mengisi borang yang disediakan. Apatah lagi perkhidmatan ini percuma. Di samping jimat, ia juga boleh memberikan ketenangan minda apabila pulang ke kampung halaman hujung minggu ini.

Penulis adalah penganalisis jenayah.

Sunday 6 September 2009

Sibu~Mukah


Menyeberang Sg Maaw naik feri swasta RM7

Rizamry dan Tan semakin serasi

Pemandangan waktu pagi Sibu

Ayam dibungkus sempoi kat Tamu Sibu
Inilah padi bukit...yang disemai dengan banyak sepanjang jalan Sibu
Berbudi kepada tanah
TARIKH : 02hb ~ 04hb Sept 2009
TEMPAT : Sibu ~ Mukah

Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Di dalam bulan ini Allah telah takdirkan berlakunya beberapa peristiwa penting antaranya berlakunya beberapa perang yang besar. Antaranya Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, Pembukaan Andalusia pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah dan Perang 'Ain Jalut pada 15 Ramadhan 658Hijrah.

Bayangkanlah dalam keadaan berpuasa, umat Islam bertambah kuat walaupun di medan perang. Iktibar peristiwa tersebut malulah kita sebagai sebagai seorang Muslim memberi alasan kononnya pada bulan puasa kita perlu kurangkan aktiviti bekerja.

Berbekalkan sejarah inilah aku meredah juga keluar 'outstation' ke Sibu dan Mukah.
Untuk pengetahuan semua jarak perjalanan dari Kuching mengambil masa 6 jam iaitu lebih kurang 400km dengan menaiki jalan darat. Tetapi yang lebih menarik adalah perjalanan melalui jalan Mukah. Bayangkanlah perjalanan sejauh 70km mengambil masa hampir 2 jam. Aku bawa kenderaan pacuan 4 roda hanya bergerak 20km ke 30 km sahaja.

Banyak perkara menarik yang dapat aku kongsikan bersama. Terima kasih kepada En Rizamry dan En Tan yang rajin bersembang sepanjang perjalanan Sibu-Mukah. En Tan kali pertama 'mengembara' di bumi Sarawak sejak bertukar dari HQ 2 minggu lalu.
##gambar perjalanan ke Mukah tidak dapat disiarkan kerana kamera 'terkejut'